3 Fokus Perniagaan Yang Perlu Kita Kenal Pasti Sebelum Bermula

on

Saya berfahaman bahawa setiap orang yang berniaga atau ingin berniaga akan berpegang pada satu teori, secara sedar atau tidak; “Perniagaan yang membuat untung paling banyak, dengan masa paling singkat, dan kerja paling sedikit.” Itulah falsafah utama kebanyakan peniaga dari dulu hingga sekarang. Ramai yang berjaya, ramai juga yang gagal dan ramai juga yang membuat dengan cara menipu. Salah satu sebab mengapa ramai orang Melayu mahu menjadi kontraktor kelas F walaupun tiada sebarang kelayakan juga disebabkan pegangan ini. Istilah ‘makan duit atas angin’ memang sinonim dengan mereka, walaupun ramai di antara mereka yang benar- benar komited. Tetapi falsafah ini tidak terhad kepada sektor binaan saja.

Setelah bekerja di beberapa syarikat rekabentuk dalaman dari tahun 2004-2009, saya telah menceburi beberapa jenis perniagaan sehingga kini. Walaupun tidak menjadi seorang jutawan dan bercinta dengan rakan sepejabat seperti yang selalu dimomokkan dalam drama televisyen tempatan, saya telah mengumpul banyak pengalaman naik turun dalam bidang ini.

Daripada pemerhatian dan pengalaman saya, ada 3 kategori utama yang boleh kita kaji sebelum memulakan perniagaan, yang memerlukan persediaan yang sesuai untuk setiap kategori. Anda wajib membuat keputusan muktamad dalam hal ini sebelum membuka perniagaan kerana jika tersalah ia boleh membawa mudarat dan menyebabkan anda hilang minat untuk berniaga, ataupun kerugian yang serius. Saya namakan hal ini sebagai 3 Fokus Perniagaan.

Mari kita lihat pro dan kontra 3 fokus perniagaan yang perlu anda tentukan sebelum menjalankan perniagaan.

  • Fokus kuantiti, kurang kualiti
  • Pro (kelebihan)
  • – Modal bahan mentah yang minima
  • – Untung yang minima, tetapi kuantiti jualan tinggi
  • – Mudah menarik pelanggan baru, mengekalkan pelanggan tetap
  • – Modal pusingan diperbaharui dengan cepat
  • – Sesuai untuk menaikkan jenama anda kerana kuantiti pelanggan yang tinggi
  • – Kurang ralat jika perniagaan gagal kerana modal yang minima

 

  • Kontra (kekurangan)
  • – Perlu dijual dengan kuantiti yang tinggi untuk mendapat pulangan yang sewajarnya
  • – Persaingan yang sangat tinggi (perniagaan jenis ini dijalankan oleh ramai orang)
  • – Kualiti barangan mungkin tidak memuaskan banyak pihak
  • – Sangat bergantung kepada lokasi yang strategik untuk memudahkan pelanggan datang

 

  • Contoh perniagaan: menjual kuih- muih atau minuman di tepi jalan, menjual barangan pakaian seperti tudung wanita secara online, Restoran 24 jam (Mamak).

 

  • Fokus kualiti, kurang kuantiti
  • Pro (kelebihan)
  • Barangan yang dijual biasanya jarang didapati di pasaran komersil
  • Hubungan peniaga-pelanggan dapat dibina mengikut aliran masa
  • Keuntungan bersih (profit margin) yang tinggi dari setiap barangan yang terjual
  • Kualiti barangan yang lebih tinggi kerana masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan setiap barang
  • Kurang bergantung pada lokasi yang strategik kerana kualiti barangan cukup kuat untuk menarik orang datang

 

  • Kontra (kekurangan)
  • Memerlukan kemahiran yang tinggi dalam bidang yang spesifik
  • Modal yang sederhana besar
  • Modal pusingan diperbaharui agak perlahan kerana jumlah pengeluaran terhad
  • Jumlah pelanggan agak terhad tetapi kemungkinan besar setiap pelanggan akan menjadi pelanggan tetap
  • Permintaan naik turun mengikut musim, trend dan tahap ekonomi

 

  • Contoh perniagaan: kedai kopi hispter, pembuat barangan custom seperti perabot dan automotif, menghasilkan barangan seni seperti lukisan, arca dan seni halus.

 

  • Fokus kualiti dan kuantiti
  • Pro (kelebihan)
  • Modal pusingan dapat diperbaharui dengan cepat
  • Keuntungan yang tinggi kerana jumlah pengeluaran yang besar
  • Memberi peluang pekerjaan kepada rakyat
  • Tidak bergantung pada lokasi yang strategik

 

  • Kontra (kekurangan)
  • Modal yang sangat besar
  • Kos harian (overhead) yang tinggi
  • Memerlukan ramai pekerja dan sistem pengurusan yang lengkap
  • Memerlukan kawasan yang luas sebagai tapak perniagaan
  • Bergantung kepada kontrak jangkamasa panjang untuk memastikan perniagaan berkekalan
  • Setiap jualan perlu dilakukan dalam kuantiti yang tinggi dengan masa yang terhad

 

  • Contoh perniagaan: kilang- kilang industri seperti alat ganti automotif, makanan ringan dan minuman dalam tin/botol, pengeluar alatan binaan.

 

Itulah 3 kategori Fokus Perniagaan yang dapat saya simpulkan melalui pengalaman dan pemerhatian dalam bidang perniagaan selama ini. Sebelum anda behenti kerja, atau meminjam wang dari bank, pastikan anda 1. tahu perniagaan apa yang anda mahu lakukan 2. Fokus perniagaan yang anda hendak mulai 3. Mempunyai sedikit ilmu dalam jenis perniagaan yang anda mahu ceburi. Semuanya bergantung kepada diri anda.

Tidak memilih Fokus Perniagaan dengan teliti akan menentukan kejayaan atau kegagalan perniagaan anda dalam jangkamasa pendek, atau lebih teruk boleh dijatuhi muflis oleh institusi kewangan sekiranya anda mengambil pinjaman.

Tepuk dada tanya selera.

 

 

Ditulis oleh,
Ridhuan Abu Bakar

Leave a comment