Keseimbangan Alam Semesta


Ada satu cerita yang berlaku dalam beberapa minggu ini yang saya kira patut dikongsi bersama rakan- rakan di luar sana. Saya pasti ramai di luar sana pernah mengalamami pengalaman seperti ini, ataupun sudah melaluinya. Tetapi saya berasa terpanggil untuk berkongsi dengan anda mudah- mudahan ia memberi manfaat kepada kita semua.

Dalam beberapa minggu ini saya sedang membaca dan mengkaji tentang alam semesta, konsep ketuhanan dan hukum karma (buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat). Kita sebagai manusia selalu melihat perkara daripada sudut negatif berbanding positif. Mungkin itu adalah salah satu sifat kelangsungan hidup (survival) manusia yang secara semulajadi untuk mengelakkan diri daripada mati.

Contohnya apabila kita diberikan peluang untuk membuka perniagaan ketika kita masih bekerja makan gaji, kebanyakan orang tidak berani untuk memasuki bidang perniagaan atas beberapa faktor:

  1. Prospek ketiadaan pendapatan tetap sangat berisiko
  2. Risiko perniagaan tidak menjadi dan jatuh bankrap
  3. Tidak berani kerana tidak yakin dengan kebolehan sendiri

Ini boleh dikatakan sebagai pandangan negatif atau lebih dikenali sebagai ‘melihat kepada realiti’ oleh sesetengah orang untuk menyedapkan hati. Walaupun ada yang membidas pendapat ini dengan mengatakan ini bukan pandangan negatif tetapi sekadar langkah berjaga- jaga, semua pasti bersetuju bahawa ini adalah alasan untuk survival diri iaitu sifat memastikan kelangsungan hidup dengan mempunyai pendapatan yang tetap adalah LEBIH BAIK daripada tidak tetap.

Kemudian ada golongan kedua yang ingin memulakan perniagaan berfikiran pada sudut faktor- faktor dibawah:

  1. Potensi untuk mengandakan pendapatan sangat tinggi
  2. Masa akan menjadi lebih fleksible
  3. Dapat membuat perkara yang disukai sambil menjana pendapatan

Faktor- faktor diatas sudah tentu berada di sudut positif tidak kira bagaimana kita cuba pusing. Ada mereka yang beranggapan pemikiran seperti ini terlalu optimis atau tidak logik, dan ada juga yang berfikiran seperti ini dan akhirnya berjaya dalam perniagaan yang mereka lakukan.

Maka dalam hal ini, kita mempunyai dua pilihan dalam hidup, untuk melihat suatu perkara dari sudut negatif dan tidak berbuat apa- apa atau berfikiran positif dan mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan. Di pengakhiran ada yang berjaya dan ada yang gagal. Tetapi kita tidak akan tahu selagi kita belum lakukannya. Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa ini hanyalah contoh kepada topik yang ingin saya ketengahkan dan BUKAN hendak menunjukkan bahawa berniaga lebih bagus dari bekerja.

Setelah mengkali beberapa isu dunia dalam 1-2 minggu ini berkenaan konsep ketuhanan dan keseimbangan (balance), saya terjumpa satu dokumentari tentang Perang Dunia Kedua, tetapi dari sudut yang berlainan. Hari ini kita telah banyak dihebahkan tentang kekejaman pihak Paksi (Axis) yang diterajui oleh Jerman, Itali dan Jepun dan pihak Perikatan (Allied) yang dibarisi USA, Britain, China, France dan Soviet Union. Oleh kerana pihak Perikatan yang memenangi perang tersebut maka semua catatan sejarah ditentukan oleh mereka. Oleh sebab itu, semua cerita tentang Jerman, Itali dan Jepun adalah buruk belaka dan mereka telah dilabel sebagai penjahat.

Setelah saya melihat dokumentari ini (http://thegreateststorynevertold.tv/) yang melihat sejarah dari sudut Jerman terutamanya Adolf Hitler dan parti NAZI, setidaknya saya dapat melihat secebis catatan sejarah hitam ini dari sudut yang berlainan daripada apa yang kerap ditayang di kaca televisyen. Isu samada ia benar atau tidak bukanlah persoalannya tetapi apa yang saya lihat adalah setiap perkara ada keseimbangannya (balance). Tak mungkin satu pihak sentiasa salah dan satu lagi sentiasa betul. Ini dapat dibuktikan dengan Hukum Ketiga Newton:

For every action there is an equal and opposite reaction.

http://csep10.phys.utk.edu/astr161/lect/history/newton3laws.html

Setiap perkara yang dilakukan pasti ada tindakbalas yang serupa. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Tetapi benarkah ia sentiasa begitu? Adakah setiap tindakan kita akan dibalas dengan adil? Kita selalu memikirkan kita membuat sesuatu dengan niat yang baik tetapi acapkali kehidupan kita menjadi lebih buruk. Di sinilah saya mula memikirkan jika benarkah ia begitu atau kita lebih terdorong kepada pemikiran negatif seperti yang saya huraikan di atas tadi.

Saya mula mempersoalkan tentang wujudkah suatu kuasa muktamad yang menggerakkan alam semesta ini atau kita sebenarnya boleh mengawal SEMUA aspek kehidupan kita. Setelah melihat video- video perang dunia kedua menyebabkan saya terfikir, “Di manakah fungsi tuhan dalam kegilaan ini?” Begitu ramai manusia yang mati begitu sahaja seperti sampah- sampah yang disapu di ruang legar rumah, tidak bernilai satu sen pun. Adaka kita ini terlalu memikirkan aspek negatif sesuatu kejadian atau itulah sebenarnya keseimbangan yang kita tidak boleh kawal, yang membuktikan kewujudan suatu kuasa muktamad?

Di atas setiap persoalan yang saya fikirkan di benak ini tidak lain hanyalah untuk mencari kebenaran dan fungsi kehidupan seharian kita. Saya yakin persoalan- persoalan ini bukanlah satu omong kosong yang membuang masa, kerana saya percaya setiap perkara yang kita alami ada kesan kepada kehidupan seharian kita walau sekecil mana pun perkara itu, kita cuma perlu berfikir sejenak dan cuba huraikan satu persatu untuk mendapat pemahaman yang lebih baik.

Hasil daripada semua ini saya ingin berkongsi satu cerita yang saya alami beberapa hari lepas yang memberi kesan yang sangat mendalam kepada diri saya.

  • Kisah ini berlaku beberapa hari selepas kenduri bapa mertua saya. Oleh kerana baru lepas kenduri maka khemah- khemah diluar rumah masih belum dibuka dan ditinggalkan disitu. Mereka berkata akan membuka khemah itu beberapa hari kemudian kerana kesibukan di pejabat.
  • Kereta saya di letakkan di kawasan yang jauh sedikit dari rumah kerana tiada ruang di depan rumah kerana kenduri tersebut. Saya tinggalkan kereta disitu selama beberapa hari.
  • Kemudian pada satu hari saya ingin ke Kuala Lumpur untuk bermain badminton bersama kawan- kawan. Saya tahu sebelah petang mungkin akan turun hujan lebat kerana nampak awan yang mendung. Saya terfikir untuk mengalih kereta saya ke depan rumah dan di bawah khemah supaya bila hendak keluar nanti senang dan tak terkena hujan.
  • Kemudian saya terfikir mungkin tidak perlu ubah kerana jika hujan pun tak jauh sangat lokasi kereta saya. Jika kena hujan mungkin minima sahaja. Itulah kesimpulan yang saya buat ketika itu.
  • Tidak lama kemudian hujan pun turun dengan lebat menyebabkan saya terpaksa menangguh untuk keluar selama sejam lebih. Angin sungguh kuat dan kawasan menjadi sangat gelap, tidak sesuai untuk memandu. Ketika itu saya ada terfikir alangkah baik jika saya alihkan kereta di depan rumah dan terus keluar sebelum hujan turun.
  • Kemudian perkara yang sangat menakjubkan berlaku; akibat hujan yang lebat dan angin kuat menyebabkan satu khemah telah runtuh. Satu daripada 3 khemah yang dipasang telah runtuh, dan khemah tersebut adalah khemah yang terletak betul- betul dihadapan rumah kami. Disitulah juga pada saya bercadang untuk meletak kereta saya pada awal tadi!

WOW!

Melihat kepada keadaan khemah yang telah runtuh itu membuatkan saya terfikir, “Jika aku letak kereta disitu tadi mungkin dan kemek bumbung atau pecah cermin depan kereta aku tadi…” Saya tergamam sejenak memikirkan perkara yang boleh dikatakan sebagai satu jawapan tepat kepada persoalan yang saya kaji beberapa minggu ini tentang pemikiran negatif dan keseimbangan alam. Tepat di depan muka jawapannya.

20150825_171019Keadaan khemah yang telah runtuh akibat hujan lebat dan angin kuat. Saya bercadang untuk meletak kereta saya di bawah khemah ini beberapa minit sebelumnya.

Tetapi siapa sebenarnya yang memberi jawapan tersebut? Anda boleh saja letak apa saja label yang anda suka seperti Tuhan, Allah, God, Jesus, Universe, Energy atau Dewa sekalipun, tetapi apa yang pasti perkara itu tetap berlaku. Kita hanya perlu memikirkan perkara ini secara mendalam dan melihat ia dari sudut negatif atau positif.

Saya amat pasti jika saya membuat keputusan untuk mengubah kereta saya ke depan rumah di bawah khemah tersebut kereta saya samada kemek di bahagian bumbung atau pecah cermin depan dan saya tidak dapat keluar bermain badminton disamping terpaksa mengeluarkan duit membaiki kereta yang pasti mencecah ratusan ringgit.

Tetapi apa yang telah saya buat adalah membiarkan kereta di tempat asal yang jauh sedikit dan tak kisah kalau terkena sedikit hujan. Jelas sekali keputusan yang telah saya buat itu sebenarnya memberi kesan yang positif  jika kita yakin terhadap keputusan yang kita buat dan berserah. Keluar lewat lebih sejam tidak ada apa jika dibandingkan dengan kerosakan yang bakal berlaku jika saya mengubah kereta itu.

Setinggi mana darjat yang kita cuba letak kepada diri kita dalam dunia ini, banyak perkara sebenarnya yang kita tidak boleh kawal. Itulah yang dinamakan keseimbangan alam (balance). Semua yang berlaku ada balance yang tersendiri yang berada diluar kawalan kita. Kita fikir kita boleh kawal semua dan mencari kesempurnaan (perfection) tetapi hakikatnya kesan daripada keputusan yang kita lakukan pasti berada diluar kapasiti diri kita sebagai manusia.

Alam ini ada matematiknya, ada penimbangnya, ada sainsnya, seperti Hukum Ketiga Newton tentang perbuatan dan reaksi (action and reaction), dan tiada satu pun berada di dalam kawalan kita. Kemudian saya teringat satu pepatah dalam filem Fast N Furious: Tokyo Drift yang berbunyi, “Life is simple, you make a decision and you move on..” Pada saya itulah falsafah kehidupan yang sebenar yang telah dijelaskan dalam terma yang paling mudah difahami.

Tak perlu fikir seteruk mana tentang kezaliman orang lain, keegoan manusia dan konsep kewujudan tuhan kerana pengakhirannya kita akan kembali ke tempat yang sama. Kita mungkin fikir yang kita telah berbuat baik tetapi sering ditindas pihak lain tetapi kita tidak tahu perkara yang dihadapi penindas itu yang mereka sendiri berusaha untuk sorok dari pengetahuan umum. Mereka pasti mendapat balasan yang setimpal. Hukum Newton mengatakan begitu. Apa yang penting adalah apa yang kita perlu lakukan untuk keluar dari penindasan itu. Disinilah pemikiran positif sangat memainkan peranan yang penting.

Kita sentiasa takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana takut kepada hasilnya tetapi hakikatnya kita sendiri tidak boleh menentukan apa yang bakal berlaku 10 minit dari sekarang. Yang pastinya jika kita fikirkan ia akan gagal maka ia pasti akan gagal.

Sifat negatif dalam diri manusia adalah pendorong kepada sikap tidak berani mencuba atas alasan survival sedangkan jika semua manusia bersama- sama membuat kebaikan maka tidak akan ada kesusahan pada orang lain.

Mungkin kita semua perlu keluar dari ilusi ini kerana apa sahaja yang kita lakukan, kita tidak akan tahu apa kesudahannya. Ada perkara yang berada di luar kawalan kita, apa yang kita perlu percaya adalah setiap perbuatan ada balasannya, setiap perkara kecil ada petandanya, setiap keputusan yang kita lakukan kadangkala tidak menjadi seperti kita rancang tetapi hasilnya pasti yang terbaik untuk kita seperti yang telah saya alami dalam kejadian ini, apa yang perlu kita buat hanyalah yakin terhadap keputusan kita dan teruskan kehidupan. Jangan menyesal terhadap perkara yang lepas kerana perkara lepas adalah pengajaran untuk hari ini.

Yang sebenar- benarnya kita hidup hanyalah untuk bahagia, tiada yang lain. Orang yang menindas orang lain dalam fikirannya untuk survive, orang yang tamak memikirkan kebahagiaan anak cucunya, dan orang yang tinggalkan harta dunia mencari kebahagiaan rohaninya. Yang pasti setiap tindakan ada balasannya, dan alam ini yang akan menentukan balance dan hukuman yang setimpal atas sesuatu perbuatan, bukan kita.

Itu fakta.

Ridhuan Abu Bakar
26 Ogos 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s