Kita dan Michael Corleone


Saya pasti hampir semua manusia yang hidup di zaman ini yang fasih berbahasa Inggeris atau boleh memahami dengan baik pernah menonton filem The Godfather. Filem ini yang keluar pada tahun 1972 adalah berdasarkan novel tulisan Mario Puzo, dan di arahkan oleh Francis Copolla, dianggap oleh kebanyakan orang sebagai antara filem terbaik sepanjang zaman.

Cerita yang lebih fokus kepada drama dan kisah keluarga mafia Itali-Amerika ini mengisahkan bagaimana anak (Michael Corleone) kepada ketua keluarga mafia Chicago naik menggantikan bapanya (Vito Corleone) walaupun pada mulanya agak sangsi dan tidak bersetuju. Tetapi atas beberapa faktor dan keadaan semasa menyebabkan beliau mengambil tampuk pemerintahan sindiket ini dan meneruskan kegiatan mereka.

Saya bukanlah peminat utama filem ini pada mulanya, saya menonton filem ini buat kali pertama pada tahun 2012 setelah banyak kali menolak keinginan itu, tetapi apa yang sangat menarik perhatian saya tentang filem ini adalah pengajaran yang diperolehi daripada menyelami karekter Michael Corleone itu dengan lebih mendalam.

Perkara pertama yang saya suka untuk tulis disini adalah tentang babak terakhir apabila konco- konco beliau menyampaikan ucapan tahniah sambil mencium tangan Michael. Di sini saya tertanya, adakah perbuatan cium tangan ini adalah budaya Melayu sejak ribuan tahun atau mula digunapakai setelah filem ini ditayangkan? Adakah UMNO yang mempopularkan salam cium tangan yang diadaptasi dari The Godfather sebagai isyarat bahawa mereka adalah suatu pertubuhan ‘mafia’? Babak tersebut cukup mendalam pada saya untuk dibiarkan begitu saja tanpa sebarang pertanyaan.

Babak akhir The Godfather I

————

Perkara kedua yang saya ingin mengajak anda semua untuk berfikir; Adakah kita semua Michael Corleone?

Sepanjang filem ini apabila saya cuba menyelami karekter peribadi Michael, perkara yang dapat saya lihat dengan jelas adalah bagaimana seorang manusia, suami, bapa, samseng dan ahli perniagaan mengimbangi semua itu dalam kehidupan seharian. Bagaimana seorang yang sangat keras dan tidak berperikemanusiaan dalam kegiatan mafia tetapi apabila balik ke rumah menjadi seorang suami dan bapa yang sangat penyayang.

Michael memulakan kehidupan remajanya sebagai orang biasa, jauh dari kegilaan dunia mafia yang ketika itu diketuai bapanya. Beliau tidak mahu mencampuri urusan bapanya dan menginginkan kehidupan yang normal bersama teman wanitanya. Itulah yang kita semua impikan pada mulanya. Kita mahu hidup senang dalam keadaan yang tenang dan berbuat baik kepada semua orang.

Beliau memasuki tentera dan berjaya naik hingga ke pangkat Kapten sebelum ditematkan perkhidmatan atas sebab kecederaan, yang sebenarnya adalah perancangan bapanya sendiri. Bapanya inginkan beliau memasuki dunia politik.

Tetapi semakin hari dunia mafia menghadapi beberapa konflik keluarga, pembelotan dan perebutan kuasa dikalangan keluarga mafia di Chicago yang dikenali sebagai ‘the Five Families‘ secara perlahan membawa Michael Corleone ke kancah mafia. Sehingga pada suatu hari bapanya Vito diserang dalam satu percubaan membunuh yang tidak berjaya. Kemudian abangnya Sonny pula dibunuh menyebabkan Michael memasuki kancah mafia keluarganya secara sepenuh masa sehingga akhirnya berjaya menggantikan bapanya sebagai ketua mafia paling berkuasa di Amerika.

Dengan ini Michael Corleone menjadi orang yang paling digeruni dalam dunia mafia dan jenayah. Mereka mengatakan bahawa beliau telah menjadi lebih kejam dari bapanya dahulu.

Persoalannya disini adalah:

  • Apakah yang menjadikan beliau begitu?
  • Bagaimana seorang biasa yang menginginkan kehidupan normal boleh menjadi penjenayah yang paling kejam?
  • Adakah keadaan yang menjadikan beliau begitu? Adakah sifat manusia sendiri sebegitu tetapi tersimpan sehingga dicabar?
  • Adakah itu sebenarnya yang beliau mahukan cuma tidak tahu?

Saya suka mempersoalkan perkara ini kerana karakter Michael Corleone boleh berada di dalam diri kita sendiri, dan melalui pengalaman saya, karakter Michael Corleone memang wujud dan berada dikalangan kita. Apabila duit dan maruah menjadi pertaruhan, manusia sanggup melakukan apa saja untuk mempertahankannya, walau membunuh sekalipun.

4c683e145ce15dc75fd2375c9a268041Tetapi pernahkan beliau mengatakan bahawa Real Men don’t kill other men?

Bagaimana Michael adalah seorang suami yang sangat lemah lembut terhadap isterinya, cukup menyayangi anak- anaknya, memberi cukup makan dan keselamatan yang paling baik, tetapi di tempat kerja sanggup membunuh dan menyeksa orang lain yang membuat masalah. Split personality seperti ini banyak dapat dilihat dalam kehidupan seharian kita, cuma mungkin kita sedar atau tidak.

Saya kenal ramai orang seperti Michael Corleone ketika tinggal di Kuala Lumpur dahulu. Bagaimana orang yang kita anggap seperti kawan boleh bertukar menjadi penyangak apabila mereka menghidu peluang untuk meraih keuntungan. Mereka berlagak seperti seorang gentleman tetapi dalam diam berusaha untuk mengambil kesempatan ke atas kebaikan dan hubungan sebagai kawan.

Ada juga orang bercakap dengan petah dan bermacam- macam janji sebelum kerja dibuat tetapi apabila selesai terus menghilangkan diri. Ada pula yang berani mengugut kita pula apabila perkara yang mereka inginkan tidak berjaya. Kisah orang yang ingin mengambil kesempatan ke atas saya selama ini memang banyak dan terlalu panjang untuk dikupas satu persatu.

Mereka ini apabila urusan melibatkan wang ringgit cukup kejam seperti singa yang kelaparan. Mereka mungkin mempunyai pemakaian yang kemas dan bersih tetapi pemikiran mereka sangat kotor, selalu menunggu masa untuk menjatuhkan mangsa yang tidak berjaga- jaga. Selalunya jika saya tidak bersedia untuk menghadapi kemungkinan ini saya pasti akan jatuh papa kedana di Kuala Lumpur, Land of Opportunites kononnya. Tetapi yang sebenarnya adalah Land of Opportunist, tempat di mana ramai cuba untuk memanjat tangga kemewahan dan kesenangan di atas kesusahan orang lain. Pure capitalist. Bukan semua, tetapi dalam dunia perniagaan yang saya ceburi kebanyakannya begitu.

TETAPI…

Mereka dirumah adalah seorang lelaki yang bersopan santun, menghormati ibu bapa, seorang suami yang baik dan menyayangi isteri dan anak- anaknya juga. Jika kita berjumpa mereka di rumah, pasti tidak percaya bahawa ini adalah orang yang kita pernah berurusan dahulu di luar. Bagaimana karekter seseorang itu boleh berubah di luar dan di dalam rumah seperti menukar kaset dari side A ke side B.

Mereka boleh membunuh orang atau putuskan hubungan persahabatan demi duit tetapi di rumah boleh menjadi bapa yang paling penyayang, penyabar dan lemah lebut. Pada saya karakter seperti ini serupa seperti Michael Corleone di dalam filem The Godfather; Kejam di luar, penyayang di rumah.

————

Perkara ini membuatkan saya terfikir; Apakah bezanya kita dengan binatang? Adakah kita ini binatang?

Apakah yang menentukan kita ini seorang manusia?

  • Manusia seorang yang berfikir – binatang juga berfikir
  • Menusia mempunyai perasaan – binatang juga ada perasaan
  • Manusia menyayangi keluarganya – binatang juga menyayangi keluarga mereka

Banyak perkara yang ada pada kita, ada juga pada binatang, jadi tak perlulah gunakan alasan seperti diatas untuk membuktikan kita lebih baik dari mereka, malah dalam keadaan sekarang, kita mungkin lebih teruk dari binatang. Kita merosakkan alam sekitar, membunuh sesama manusia kerana harta dan kuasa, kita mengambil kesempatan ke atas orang lain, tetapi hanya kerana kita sayang keluarga kita, kita cuba rasionalkan semua perbuatan buruk yang lain sebagai ‘keperluan hidup’ atau kata mereka survival. Kita berkata asalkan kita jaga keluarga kita sudah memadai. Cuba teka, binatang pun berfikiran seperti itu.

Kemudian saya teringat satu dialog di dalam filem Interstellar;

Dr. Mann: Because he knew how hard it would be to get people to work together to save the species instead of themselves.

 

Cooper: Bullshit.

 

Dr. Mann: You never would have come here unless you believed you were going to save them. Evolution has yet to transcend that simple barrier. We can care deeply – selflessly – about those we know, but that empathy rarely extends beyond our line of sight.

“We can care deeply – selflessly – about those we know, but that empathy rarely extends beyond our line of sight…”

Pada saya, inilah sebenarnya yang akan membezakan kita dengan binatang, atau lebih tepat perkara yang akan menentukan kemanusiaan kita. Apabila Tuhan bercakap mengenai manusia itu sama, bagaimana Dia menjadikan manusia itu berlainan bangsa supaya kita lebih mengenali satu sama lain, inilah yang dimaksudkan pada pemahaman saya.

Kita boleh berbangga dengan kehebatan kita menjaga dan membina keluarga bahagia seperti yang selalu ditayang di Facebook, tetapi kehebatan dan sifat penyayang itu terhad hanya pada kaum keluarga sendiri. Apabila sempadan kekeluargaan itu dilepasi, kita jarang mengambil kisah walaupun mereka berdiri bersebelahan kita, malah ada yang sanggup menindas manusia lain demi survival diri sendiri. Sehebat manapun kita dengan kaum keluarga kita, kita ini sama sahaja seperti Michael Corleone, kejam di luar, penyayang di dalam.

Kita mudah memaafkan isteri dan anak- anak kita tetapi susah memaafkan kawan dan saudara mara, seolah- oleh orang luar ini adalah spesis lain. Malah, ada yang sanggup pergi lebih jauh sehingga menjatuhkan orang lain apabila nampak peluang itu terhidang di depan mata.

Apabila kita boleh bebas dari sempadan tersebut dan dapat menilai umat manusia secara keseluruhannya secara saksama, barulah kita menjadi manusia yang sebenar; penyabar dan berperi kemanusiaan. Memang kita tahu kadangkala keadaan terdesak yang menyebabkan kita tertunjuk sikap buruk kepada orang lain, tetapi itulah sebabnya sabar sangat ditekankan di dalam kehidupan seharian.

  • Sanggupkah kita sabar daripada menyakiti kawan kita?
  • Sanggupkah kita sabar daripada menindas orang lain untuk keuntungan kita?
  • Sanggupkah kita sabar dalam menghadapi keadaan tersedak?
  • Sanggupkah kita sabar menghadapi serangan dari orang lain?

Saya banyak berfikir, apakah yang telah kita lakukan sesama manusia selama ini. Adakah kita ini hero di dalam rumah saja tetapi penyangak di luar, menindas orang lain, menipu demi wang ringgit atau mencuri harta benda orang lain? Adakah terdapat sifat Michael Corleone di dalam diri kita semua, menyakiti orang lain atas dasar survival tetapi di rumah menukar topeng dan menjadi seorang bapa yang paling penyayang?

Pada saya, inilah satu aspek yang perlu kita ubah untuk menjadi manusia di masa akan datang. Filem The Godfather mungkin bukan filem top 10 pilihan saya, tetapi pengajaran dari karakter Michael Corleone sangat memberi impak kepada kehidupan saya. Ia membuatkan saya terfikir adakah itu diri kita yang sebenar, adakah kita dicipta dalam keadaan begitu, bolehkah kita belajar untuk menjadi lebih baik dari Michael, perlukah kita menjatuhkan orang lain untuk naik.

Jauh dilubuk hati saya mengatakan bahawa manusia boleh berbuat berbaik sesama manusia tanpa kerugian apa- apa, tetapi semua itu perlu dimulakan dalam diri sendiri. Jika semua orang berfikir seperti itu maka dunia ini akan menjadi lebih baik. Pemikiran ini mungkin nampak seperti satu fantasi yang kosong, tetapi jika kita kecilkan skop kenalan dan kekalkan yang baik sahaja, itu adalah satu kejayaan. Dunia anda telah menjadi lebih baik.

Dunia Facebook saya berkurangan kepada 477 friends dari 2500 beberapa bulan lalu. Usaha yang kecil tapi memberi impak yang besar…

Ridhuan Abu Bakar
13 Ogos 2015

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s