Benarkah Istilah ‘Persaingan Sihat?’


Persaingan sihat merupakan satu istilah yang kerap digunakan di dalam dunia perniagaan, malah dalam kehidupan secara amnya. Istilah ini juga sangat kuat diperkatakan dalam dunia sukan dimana setiap atlit yang bertanding bercita- cita untuk menjadi yang terbaik. Cara untuk mereka menjadi yang terbaik adalah bersaing dengan atlit yang berada dalam disiplin yang sama. Ini dinamakan pihak lawan. Lawan + sihat?

Begitu juga prinsipnya di dalam perniagaan. Kita sering mendengar tokoh motivasi dan pakar perniagaan mencanang idea bersaing secara sihat, iaitu masing- masing berusaha untuk menjadi yang terbaik, paling kaya, paling untung dan dalam masa yang sama berhubungan baik dengan pesaing dan tidak melakukan perkara yang salah di segi undang- undang, moral atau agama.

Tahukah anda bahawa hampir semuanya dusta belaka, cakap kosong dan mustahil untuk dilakukan. Walaupun di atas kertas tampak menarik dan bijaksana, hakikatnya apabila wujud unsur persaingan sesama manusia ke atas sesuatu pasaran pasti akan timbul sikap- sikap yang buruk terutama apabila melibatkan wang ringgit dan kemahsyuran.

Kita semua sedia maklum tentang sejarah hitam dalam dunia sukan seperti skandal pelumba basikal Lance Armstrong, pelari pecut Ben Johnson dan tidak lupa zaman kemuncak skandal rasuah liga bolasepak Malaysia 1993-1994.

Lance Armstrong yang begitu mahsyur dengan 7 kemenangan Tour de France akhirnya jatuh menjunam apabila beliau didapati bersalah mengambil dadah terlarang jenis EPO dimana kesannya adalah meningkatkan penghasilan sel darah merah. Akibat daripada kes itu beliau dilucutkan semua kejuaraannya, digantung seumur hidup dari sukan itu dan dikenakan pelbagai jenis saman dari pihak- pihak yang berasa tertipu oleh aksinya selama ini. Semua ini terjadi dalam arena sukan yang kita sangka sebuah aktiviti yang bersih dan mempromosi konsep persaingan sihat. Tetapi betapa salahnya kita apabila skandal seperti ini terbongkar ke media massa dan mendapat liputan dunia. Apabila duit dan kemahsyuran menjadi pertaruhan, manusia akan melakukan apa sahaja untuk mendapat kelebihan ke atas pihak lawan, cara betul atau salah. Ini baru kes- kes yang telah terbongkar, berapa banyak lagi yang terlepas dari pandangan badan penganjur? Benarkah sukan itu persaingan yang sihat?

56452945.jpg.CROP.article568-large Lance Armstrong

Dalam dunia perniagaan pula istilah ‘persaingan sihat’ cuba dipaparkan dalam konteks- konteks seperti ‘Tolong Melayu‘, kawalan harga pasaran dan juga inisiatif joint-venture‘ (JV); dimana dua syarikat bergabung modal untuk menjalankan projek besar demi keuntungan bersama. Perkara ini juga kebanyakannya adalah cerita dongeng semata- mata.

Orang yang berniaga cukup lama sudah tentu tahu bahawa istilah ‘tolong melayu’ ini hanyalah retorik perkauman semata- mata yang hanya menguntungkan pembeli dan merugikan penjual. Dalam transaksi ‘tolong melayu’ ini apa yang selalu terjadi adalah pembeli akan memberi janji manis yang tidak ditepati kepada penjual supaya menjual pada harga yang rendah. Kemudian peniaga ini terpaksa akur kerana pembeli tersebut adalah “Melayu’ dan ‘jasanya’ menolong pembeli Melayu. Jadi dengan menjual pada harga yang rendah dari biasa pembeli tersebut mendapat keuntungan di atas transaksi ini tetapi peniaga pula kerugian. Dalam situasi ini dimanakah relevannya ‘Tolong Melayu’? Tidakkah pembeli tersebut menindas peniaga itu dengan alasan ‘tolong Melayu’? Jika ada satu pihak yang tertindas maka ia sudah pasti bukan ‘tolong’.

 total-harta-orang-kaya Gambar hiasan

Sesetengah orang beranggapan konsep ‘tolong Melayu’ ini akan meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu disamping menggalakkan persaingan sihat dikalangan bangsa dan mengurangkan pergantungan (kononnya) pada perniagaan bangsa lain. Bagaimanakah skim ini dapat meningkatkan taraf ekonomi peniaga Melayu jika mereka sentiasa terpaksa menjual pada harga diskaun? Orang yang berniaga pasti tahu bahawa perkara ini adalah ketahian semata -mata dan bukan realiti seperti yang dicanang di dalam surat khabar.

Begitu juga dengan pengawalan harga pasaran sesuatu produk yang akhirnya akan ada satu dua pihak mengambil kesempatan menurunkan harga secara senyap atau menikam peniaga lain untuk mendapat pelanggan dengan cara yang kotor. Ekonomi yang rancak adalah pasaran bebas; yang jual RM500 ada pasaran tersendiri, begitu juga yang menjual dengan harga RM5000.

Konsep joint- venture‘ (JV) juga telah berkali- kali terbukti akan menemui kegagalan apabila wujud dua kepala yang mengawal tampuk kuasa. Kebiasaannya salah seorang akan sentiasa memikirkan untuk menjatuhkan seorang lagi untuk mengawal keseluruhan operasi dan potensi keuntungan. Mengikut perngalaman saya perkara ini selalu akan berakhir dengan tragedi akibat sikap tamak dan terburu- buru mencari untung. Sekali lagi, orang yang berniaga tahu ketahian ini. Dalam dunia perniagaan juga istilah ‘persaingan sihat’ sebenarnya tidak wujud, yang ada hanyalah ‘persaingan’. Bila melibatkan duit, tiada apa yang ‘sihat’. Persaingan mewujudkan kekalutan. Saya akan kupaskan perkara ini di akhir artikel.

Malangnya, istilah persaingan sihat ini telah merebak masuk ke dalam minda masyarakat Melayu Malaysia yang sentiasa disuap dengan imej- imej memperagakan kemewahan material dan wang ringgit dalam majalah hiburan dan drama swasta yang bercambah umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Penyakit ini (ia suatu penyakit) memberi gambaran bahawa pemilikan material yang banyak melambangkan kemewahan seseorang. Disitulah timbulnya ‘persaingan sihat’ (kononnya) diantara adik beradik, saudara mara dan rakan- rakan. Masing- masing akan mengumpul kemewahan material sebanyak mungkin untuk ditayangkan kepada pihak yang cuba ‘bersaing’ dengannya dengan harapan mendapat pujian melambung atau rasa hormat.

tv Sumber keracunan minda

Akibat daripada mentaliti ini maka timbullah gejala membandingkan bahan material masing- masing seperti siapa memiliki kereta paling baru, siapa membeli rumah paling mahal, siapa ada anak paling ramai, anak siapa lagi pandai, anak siapa lagi cepat bercakap, bapa siapa yang belikan dia komputer paling canggih, anak yang mana bagi paling banyak duit kepada ibu bapa dan banyak lagi perbandingan yang tidak berkesudahan. Minda orang Melayu sudah seperti keracunan materialistik, biar orang tua mahupun yang muda. Seolah- olah kemajuan itu diukur dari berapa banyak material yang ada.

Kita selalu mendengar orang bergosip, membandingkan anak sendiri dengan anak jiran, bertukar- tukar cerita ‘pencapaian’ mereka di sekolah, atau anak siapa beli kereta paling baru, anak siapa yang bagi duit paling banyak. Pada mereka perkara ini mesti dibuat untuk membuktikan kepada orang lain bahawa cara dia membesarkan anaknya adalah cara yang paling betul dan bijaksana. Hinggakan anak belajar mengira di tadika pun mengaku dia yang ajar.

Untitled-34

Michael Tellinger dari Ubuntu Movement

Pernahkan mereka terfikir perasaan anak- anak tersebut apabila dirinya dibandingkan dengan anak orang lain? Lebih- lebih lagi apabila anak orang lain itu lebih dipuji berbanding yang di depan mata. Bagaimana pula jika anak itu membandingkan ibu bapanya dengan ibu bapa orang lain? Tidakkan ibu bapa itu akan berkecil hati? Pada mereka, dunia ini seolah- olah hanya ada satu jalan kehidupan, iaitu kerja berlebihan, buat duit sebanyak mungkin dan beli barang secepat yang boleh. Bagi mereka itulah simbol kejayaan. Tetapi, adakah perkara ini dituntut dalam Al- Quran yang mereka pegang setiap hari itu?

Semua ini terhasil daripada keracunan minda ‘persaingan sihat’ dari kaca televisyen, ‘pakar’ motivasi dan mulut- mulut longkang orang Melayu yang kolot dan suka mengata orang. Tidakkah mereka tahu bahawa 99% kemewahan yang dicanang di seluruh pelosok kampung itu datang dari hutang bank yang belum habis dibayar? Kita semua tahu betapa sakitnya membayar hutang bank setiap bulan hingga terpaksa membuat 2-3 kerja yang memenatkan tetapi terpaksa? Semata- mata untuk bersaing dengan jiran tetangga?

Untitled-5

Micheal Tellinger

Seperti yang terjadi kepada atlit- atlit professional yang saya sebutkan tadi, manusia akan melakukan apa sahaja untuk mendapat kelebihan berbanding lawannya, termasuk bermain kotor dan menjatuhkan orang lain. Apabila ada orang yang memilih jalan kehidupan yang lain dikatakan pemalas pula, dikutuk dan dihina seperti sampah masyarakat. Tidakkah kita tahu bahawa orang zaman dahulu tidak ‘sibuk’ macam sekarang? Untuk merasionalkan ‘kesibukkan’ itu, mereka mengatakan bahawa motivasi bekerja kuat ini datang dari ‘persaingan sihat’ di kalangan rakan dan ahli keluarga.

Sebenarnya tidak wujud ‘persaingan sihat’ disini, yang ada hanyalah riak, kesombongan dan keangkuhan menunjuk pada orang lain bahawa dialah yang terbaik dalam menguruskan kehidupan. Itulah yang sedang dialami oleh masyarakat Melayu di setiap taraf kehidupan dan ekonomi sekarang, lebih- lebih lagi dengan banyak ruangan di media sosial untuk memperagakan kemewahan itu. Rakan- rakan sekerja bersaing membeli rumah paling mahal dan kereta paling baru atas dasar ‘persaingan sihat’ tetapi memesongkan minda mereka dari pemikiran kritis dan kekurangan masa untuk mendalami ilmu, kerana apa yang mereka fikir setiap hari hanyalah status sosial dan wang ringgit untuk mencapai status sosial itu.

Tahukah kita bahawa orang Putih (tamadun barat) yang kita terhegeh- hegeh hendak tiru telah lama ‘keluar’ dari kepompong ‘persaingan sihat’ sesama manusia ini. Pakar- pakar motivasi besar barat seperti Jim Rohn, Bob Proctor, Mike Dooley, Tim Ferris, Timothy Robins dan lain- lain mengatakan bahawa dalam apa jua bidang yang kita lakukan, persaingan yang wujud hanyalah pada diri sendiri. Maksudnya dalam apa jua yang kita lakukan, kita perlu menjadi lebih baik dari hari- hari sebelumnya sebagai kayu pengukur kemajuan diri. Itulah konsep sebenar yang diajar di dalam setiap agama dan budaya, tetapi orang tidak mengkaji kerana terlalu ‘sibuk’.

Masyarakat tidak perlu bersaing sesama sendiri kerana dalam sifat persaingan akan timbul sikap iri hati, dengki dan tamak yang hanya akan memusnahkan keharmonian masyarakat itu sendiri. Manusia hanya perlu menjadi diri yang lebih baik dari semalam, tolong menolong dan hidup berharmoni. Masing- masing ada gaya hidup tersendiri,  masing- masing ada kepakaran tersendiri, masing- masing ada personaliti tersendiri, tidak perlu ada mana- mana media atau tokoh perlu memberitahu anda apa yang perlu anda lakukan untuk menjadi manusia yang berdaya saing. 

albert-einstein-quote-happy-life

Dalam diri kita sendiri ada jawapannya. Persoalannya adakah kita cukup berani mengharungi rintangan kata- kata kesat oleh orang luar dan keluarga yang mungkin tidak bersetuju kerana kita mempunyai perspektif berbeza terhadap kehidupan, dalam masa membina sesuatu yang lain untuk kemajuan sendiri, keluarga dan masyarakat pada masa hadapan? Sanggupkah kita dipinggarkan oleh orang terdekat hanya kerana kita tidak mahu bergelumang dalam kancah materialistik? Sanggupkah kita menahan perasaan dibanding- bandingkan dengan orang lain lebih- lebih lagi dipandang rendah oleh orang yang sepatutnya menyokong kita?

Tanya dan jawab di hadapan cermin, kita pasti mendapat jawapannya. Sama- sama kita duduk sejenak dan memikirkan apakah perbuatan kita selama ini memberi manfaat kepada orang lain, adakah kita pernah mengecewakan orang lain dengan menjadikan diri sebagai objek perbandingan. Adakah kita pernah berazam untuk menjadi diri yang lebih baik dari semalam atau kita hanya memikirkan untuk menjadi lebih baik dari orang lain?

Tidak ada manusia yang sempurna, tua atau muda, miskin atau kaya…

*Artikel di atas merupakan pendangan peribadi saya melalui pengalaman dan pengajaran selama ini, tidak berniat ditujukan kepada sesiapa. Artikel bertujuan untuk dijadikan pengajaran bersama dan mengupas buah fikiran pembaca.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s