Boleh Hidup kah?


Countryside_at_Haddon_Hall,_Derbyshire(gambar dari Google Search)

Kita semua ada cita- cita yang tersendiri, namun seringkali ia sekadar menjadi mimpi indah yang tidak akan tercapai atas alasan- alasan tertentu.

Saya, seperti anda juga sentiasa berjumpa dengan golongan sebegini hampir setiap hari, samada rakan sebaya, rakan sepejabat, sanak saudara atau ahli keluarga. Kita sentiasa dikelilingi dengan manusia yang berbakat besar dalam pelbagai bidang yang BUKAN pekerjaan utama mereka, contohnya seorang bekas pemain bolasepak peringkat negeri di sekolah dahulu kini menjadi guru, ataupun rakan yang mempunyai suara nyanyian yang hebat mengalahkan Jamal Abdillah tetapi bekerja sebagai jurutera sivil, atau ada juga orang yang sangat handal memasak setanding dengan penguasaha restoran terkenal di Lembah Klang tetapi bekerja sebagai pembantu stor di pusat beli belah.

Jika diamati dan dikenali golongan sebegini, mereka sangat berbakat besar dalam perkara yang mereka minat, tetapi akhirnya bekerja di dalam bidang yang TIDAK mereka minati. Saya pasti 99% manusia di dunia ini berbakat semulajadi dalam beberapa bidang spesifik tetapi hanya menjadi hobi di masa lapang atau ketika hendak menghilangkan tekanan akibat pekerjaan. Apakah punca yang menyebabkan mereka jadi begini? Pemerhatian saya selama ini dapat dikecilkan kepada 5 perkara utama seperti dibawah:

  • Tidak boleh menyara hidup
  • Tidak berbakat
  • Bebanan hutang pinjaman universiti
  • Ibubapa tidak memberi dorongan
  • Tiada mentor untuk menunjuk ajar

Setelah saya menamatkan diploma di kolej pada tahun 2003, saya terus mendapat pekerjaan sebagai ‘Junior Designer’ di sebuah syarikat perabot pejabat terkenal di Rawang, seterusnya bekerja di beberapa syarikat lain di Lembah Klang sehingga saya nekad untuk berhenti pada tahun 2009.

Kemudian bermula pada tahun 2009 saya hidup sebagai ‘freelance photographer’ (jurugambar sepenuh masa perseorangan), bermula dari bawah, dengan bantuan rakan terdekat untuk mendapat tugasan permulaan untuk membina portfolio, sehingga dapat membina satu jenama fotografi sendiri dan berterusan hingga hari ini. Dalam perjalanan naik turun sepanjang masa tersebut, banyak persoalan yang telah diajukan kepada saya berkenaan ‘pekerjaan’ saya.

Contohnya, jika anda bertanya kepada saya apakah pekerjaan saya, dan saya menjawab “jurugambar sepenuh masa perseorangan” atau dalam bahasa Inggeris “Freelance Photographer”, sesetengah daripada anda pasti kehairanan atau berfikir sejenak,

“Apa kejadah freelance photographer tu? Photographer Utusan Malaysia, The Sun, Berita Harian aku tau la tapi freelance photographer tu apa? Apa yang awak shoot sebenarnya?”

Apabila diterangkan secara panjang lebar akhirnya orang yang bertanya tadi faham sedikit sebanyak, mungkin itu pertama kali dia mendengar perkataan”freelance photographer“. Tetapi persoalan yang paling ingin saya ketengahkan disini adalah pertanyaan kedua mereka iaitu;

“Jadi freealnce photographer ni boleh hidup kah?”

Tanya mereka kehairanan, seperti melihat bayi yang baru lahir dari perut isteri mereka. Jika saya bekerja sebagai jurutera, pembantu stor, juruterbang, ahli politik atau penganalisa IT, persoalan tersebut pasti tidak akan timbul kerana itu adalah pekerjaan “standard” ataupun yang diketahui umum.

Jurugambar dalam apa jua kategori dikira sebagai salah satu cabang seni, dan ramai diantara mereka yang bekerja dalam pekerjaan “standard” ini berbakat dalam beberapa jenis bidang seni seperti yang saya nyatakan di perenggan atas tadi. Tetapi bagi mereka ia tidak lebih daripada mengisi masa lapang sahaja, mereka tidak menyara hidup melalui hobi tersebut. Jadi apabila mereka berjumpa dengan orang yang mencari duit untuk hidup melalui bidang seni seperti forografi, pasti ada antara mereka yang kehairanan. Respons ini tidak mengejutkan saya kerana tidak ramai yang berada dalam keadaan ini.

Persoalan mereka tentang “boleh hidup” itu bergantung kepada definisi “hidup” penyoal tadi. Ada mereka yang mentakrifkan hidup adalah “hidup suami isteri bersama beberapa anak, tinggal dirumah yang dibeli mengikut trend dan kereta yang ditukar setiap 4 tahun sekali…“, ada juga yang mentakrifkan “hidup” sebagai “satu perjalanan atau pegalaman yang dilalui bersama pasangan, membuat perkara yang disukai dan bersederhana sepanjang masa tanpa memikirkan kemewahan harta benda…“. Jika anda terdiri dari golongan pertama tadi dan menyoal orang yang berada di golongan kedua, sudah pasti anda tidak akan mendapat jawapan yang memuaskan hati anda.

Jika saya katakan kepada anda bahawa saya boleh hidup dengan hanya berpendapatan RM3000 sebulan di Kuala Lumpur, anda mungkin mengatakan bahawa saya gila, dan jika anda merungut kepada saya bahawa perniagaan anda berada dalam masalah kewangan dengan modal tunai hanya berbaki RM1 juta, saya akan mengatakan anda gila pula. Mana mungkin RM1 juta tidak cukup untuk hidup? Tetapi anda mungkin mempunyai sebab kukuh anda tersendiri.

Apa yang saya hendak perkatakan disini ialah persoalan “Boleh hidup kah?” ini sangat subjektif dan suatu persoalan sia- sia sahaja kerana taraf hidup dan matlamat kita mungkin banyak berbeza.

Tetapi jika hendak diletakkan satu takrifan umum untuk menjawab persoalan ini, saya boleh katakan “Selagi aku tak mati kebulur maknanya boleh hiduplah aku…”

Rumusan pertama saya disini adalah untuk hidup dengan melalukan perkara yang anda minat tidak mustahil, malah sangat berpotensi asalkan anda boleh menyesuaikan taraf hidup anda dengan keadaan semasa. Jangan malu untuk hidup besederhana berbanding rakan terdekat, jangan malu untuk mengakui kelemahan sendiri dan jangan teragak- agak untuk menguasai kebolehan diri, jika itu yang membuatkan anda rasa “hidup”…

Soal samada boleh menjadi kaya atau tidak adalah persoalan di lain masa, tetapi cuba anda fikirkan sejenak, dengan pekerjaan anda sekarang yang bergaji RM10,000, adakah semua harta benda yang anda miliki sekarang hak mutlak anda? Atau anda masih berhutang dengan bank? Jika ya, maka anda masih belum memiliki aset tersebut dan anda sebenarnya belum kaya seperti yang anda sangka.

Fasa kedua:

  • Tidak boleh menyara hidup
  • Tidak berbakat
  • Bebanan hutang pinjaman universiti
  • Ibubapa tidak memberi dorongan
  • Tiada mentor untuk menunjuk ajar

1. Tidak boleh menyara hidup

Lihat https://diwant.wordpress.com/2015/02/28/adakah-kita-bekerja-kerana-terpaksa/ untuk keterangan lanjut

Seperti rumusan diatas tadi, apa jua yang anda minat seperti memasak, menyanyi, melukis atau bermain alat muzik, semua itu boleh dijadikan kerjaya utama anda jika anda bersungguh- sungguh dalam memajukan diri.

Kita mungkin iri hati melihat rakan- rakan terdekat yang telah berkahwin awal, mendapat 2-3 anak ketika usia baru mencecah 32, menukar kereta baru setiap 4-5 tahun dan membeli rumah hampir RM1 juta di Kuala Lumpur, tetapi perlu diingat bahawa atas perkara- perkara tersebutlah mereka tidak dapat membuat hobi mereka sebagai kerjaya utama walaupun dalam kepala mereka ada menyimpan angan- angan.

Siapa kata kita perlu dapatkan semua perkara tersebut dalam masa yang paling singat atau paling cepat dan akhirnya meneruskan 20-30 tahun hidup mendatang dalam kancah hutang?

2. Tidak berbakat

Bakat boleh diasah, sama juga seperti ketika anda graduasi universiti dan mendapat ijazah, 90% dari perkara yang anda belajar tidak digunapakai di tempat kerja, tetapi anda memaksa diri untuk belajar dan menyesuaikan diri kerana “kerja”. Maka alasan tidak berbakat hanyalah mitos semata -mata.

3. Bebanan hutang pinjaman universiti

Ini adalah perkara yang boleh dikatakan masih baru dalam porfolio institusi kewangan. Jika anda masih terperangkap dalam hutang pinjaman pelajaran anda mungkin terpaksa bekerja untuk suatu tempoh masa yang lama sebelum boleh berhenti dan bekerja sendiri.

Atau mungkin anda boleh mencari seorang pelabur yang bermurah hati untuk melabur dalam perniagaan anda, tetapi jangan menaruh harapan yang tinggi. Mungkin ibubapa anda boleh menolong?

4. Ibubapa tidak memberi dorongan

Ini adalah isu yang agak sensitif kepada kebanyakan orang, tetapi sangat penting dalam hala tuju anda untuk bekerja sendiri dalam bidang yang anda minati. Sebaiknya digalakkan anda berbincang dengan ibubapa anda tentang pelan dan bagaimana anda ingin melakukannya kerana dalam hal ini anda perlukan sebanyak mungkin sokongan dari orang- orang terdekat, kerana mereka yang akan berada disamping anda ketika susah dan senang kelak.

Sudah pasti mereka akan sangsi pada mulanya, tetapi anda perlu teruskan juga dengan pelan anda dan mungkin suatu hari nanti mereka dapat melihat hasilnya dan memberi sepenuh kepercayaan kepada anda. Bagi mereka, memang susah melihat anak- anak rakan mereka yang ‘berjaya’ dari segi memiliki kereta mahal, rumah besar dan sebagainya tetapi anda hanya hidup seperti biasa. Tetapi ingatkan mereka bahawa bukan semua orang ingin hidup dengan kemewahan harta- harta tersebut.

5. Tiada mentor untuk menunjuk ajar

Pada permulaan anda mungkin tercari- cari seseorang yang digelar mentor atau guru untuk memberi tunjuk ajar, tetapi mereka ini hanya boleh membawa anda ke suatu tahap sahaja, dimana untuk pergi lebih jauh anda perlu membentuk laluan sendiri tanpa bergantung kepada mentor tersebut. Ini kerana haluan hidup yang kita inginkan pasti berbeza pada setiap orang.

Jadi, mentor atau guru ini hanya diperlukan pada peringkat permulaan sahaja, seterusnya hanya anda yang tahu. Pastikan hidup anda dibentuk oleh diri anda sahaja. Jangan jadikan mereka ini seakan dewa atau malaikat yang menjadi tempat anda bergantung harap.

Rumusan

Memang benar, hidup bekerja sendiri memang mempunyai risiko- risiko yang tersendiri seperti pendapatan yang tidak tetap (perkara yang paling ditakuti), tetapi jika anda boleh hidup dengan fleksibiiti dan pandai menyesuaikan diri dari semasa ke semasa tidak mustahil perjalanan hidup akan menjadi lebih menarik dan mencabar.

Dalam perjalanan membentuk gaya hidup yang ANDA impikan (bukan pengaruh televisyen atau rakan sebaya), pasti akan mendatangkan bantahan dari pihak tertentu dan juga  kutukan, jadi penting untuk mendapat sokongan ahli keluarga dan rakan terdekat untuk membantu meningkatkan keyakinan diri anda. Anda juga akan merasai bahawa rakan- rakan akan berkurangan dan mula menjauhkan diri, tetapi itu adalah proses biasa. Itulah yang akan terjadi apabila anda tidak mengikut cara orang kebanyakan. Ambil perkara itu sebagai sesuatu yang positif kerana itulah bukti anda tetap dengan pindirian anda yang tidak tunduk kepada pengaruh luar.

Tidak perlu hidup mewah untuk buktikan kepada dunia bahawa anda sudah berjaya membina kehidupan sendiri, cukup sekadar anda hidup gembira tanpa sebarang tekanan yang mengganggu perasaan.

Akhirnya bukan kepada mereka anda hendak menjawab kan?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s