Harga Sebuah Pembangunan


untitled_150310_4429_30_31_tonemappedMasjid Abdullah Fahim, Bertam, Kepala Batas

Sejak pertama kali saya membeli kamera DSLR pada Januari 2007 di  Plaza Sungai Wang, saya sentiasa menetapkan diri untuk mejadi seorang jurugambar dokumentari / landskap dengan menceritakan subjek kehidupan dan keindahan alam semulajadi di sekeliling kita yang jarang diberi perhatian yang secukupnya. Contohnya kehidupan seorang pekerja majlis perbandaran yang mengambil sampah setiap pagi di rumah kita; pernahkah kita terfikir bagaimana rutin kehidupan mereka? Mengapa mereka membuat pekerjaan itu yang jarang orang mahu buat?

Bagaimana pula dengan keindahan alam seperti sungai, pantai dan pergunungan yang tersergam indah di sekeliling kita. Pernahkah kita berhenti sejenak untuk menghargai keindahannya dengan tidak membuat kerosakan dan pembangunan yang melampau sehingga merosakkan struktur asal muka bumi ini? Pernahkah kita terfikir apakah punca Sungai Pinang menjadi sebegitu rupa?

untitled_150310_4462Vision Park, Bertam, Kepala Batas

Kita sebagai manusia sentiasa suka memikirkan tentang ruang lingkup yang luas tanpa mempedulikan isu mikro yang boleh mengubah hala tuju sesuatu tamadun dalam jangkamasa panjang. Ayat contoh seperti “Tarah bukit ni memang tak berapa elok tapi untuk pembangunan tidak mengapa…” selalu kedengaran di sekeliling kita. Atas alasan pembangunan, isu mikro seperti kestabilan struktur tanah tidak dipedulikan sehingga terjadinya tragedi yang meragut nyawa

  • Highland Towers
  • Bukit Antarabangsa
  • MRSM Bentong
  • Lebuhraya PLUS kawasan Gua Tempurung
  • Banjir besar pantai timur 2014

untitled_150301_4213Jeti Lama Gertak Sanggul, Pulau Pinang

Pembangunan yang pesat di negeri Pulau Pinang telah mula menampakkan ciri- ciri pembangunan bermatlamat besar tanpa memikirkan kesan daripada tidak mengendahkan isu mikro terutamanya impak kepada alam sekitar dan paling penting budaya setempat. Bagaimana perasaan seorang penduduk kampung di Teluk Kumbar yang tiba- tiba terpacak sederet 5-6 buah rumah batu 3 tingkat di celah- celah rumah kayu mereka? Tidakkah ia nampak pelik dan tidak harmoni?

Tidakkah akan mewujudkan jurang kasta secara mendadak suatu hari nanti? Orang kampung dengan pendapatan RM1000-2000 sebulan akan tinggal dekat dengan golongan pertengahan yang bergaji RM5000-10,000 yang sama sekali tidak mengenali golongan pertengahan itu. Pemilik rumah batu tersebut akan hidup dalam rumahnya sendiri dan pergi balik kerja tanpa bergaul dengan masyarakat setempat atas isu keselamatan kononnya. Apakah kesan kepada budaya masyarakat ketika itu? Itulah yang sedang terjadi sekarang di Pulau Pinang pada pandangan saya, tanah yang kecil menjadi rebutan golongan tamak atas nama pembangunan.

untitled_150311_4487Jalan Farquhar, Georgetown

Namun, atas nama pembangunan juga golongan moden ini (yang lahir dari tahun 1980 ke atas) berkata ia tidak mengapa, sehinggalah tanah pusaka datuk nenek mereka diambil untuk pembangunan apartment mewah baru mereka akan bangun menentang. Ketika itu semuanya sudah terlambat. Bagi saya, isu- isu seperti ini adalah motivasi kepada diri saya untuk menjadi seorang jurugambar / penulis dokumentari.

Iaitu menceritakan tentang kehidupan masyarakat setempat dan suasana alam semulajadi yang tidak pernah kita pertimbangkan selama ini tetapi akan memberi kesan mendalam untuk jangkamasa panjang. Bagi kebanyakan mereka yang tidak faham, mereka akan menuding jari ke arah ahli politik dan memainkan isu perkauman. Tetapi sebenarnya dua isu tersebut adalah isu kecil kalau nak dibandingkan dengan punca sebenar, tetapi kita tidak tahu kerana terlalu banyak bermain internet.

untitled_150301_3878_79_80_tonemappedHin Bus Depot Art Center, Georgetown

Tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan adalah perkara yang baik secara am, tetapi skop pembangunan adalah sangat luas maknanya dan kita perlu berhati- hati apabila cuba memperjuangkan pembangunan. Bagi kebanyakan kita yang saya perhati, pembangunan kepada mereka bermaksud menggantikan bangunan kayu lama dengan bangunan konkrit yang nampak moden dan mempunyai kemudahan internet yang pantas. Itulah saja pembangunan yang mereka tahu.

Tetapi mereka tidak pernah terfikir bahawa sistem kumbahan, perparitan dan pengangkutan yang efisyen juga adalah pembangunan, dan mungkin aspek pembangunan yang paling penting dalam sesebuah tamadun. Kita bangga dengan KLCC tetapi kawasan sekeliling mungkin banjir ketika hujan lebat kerana sistem perparitan yang primitif. Itukah pembangunan yang kita semua impikan? Ada juga yang menyokong kemusnahan Kampung Baru dan digantikan dengan bangunan- bangunan konkrit moden mencakar langit tetapi tidak mahu perkara yang sama dilakukan di kampung halaman mereka. Jadi bagaimana dengan Kampung Morten, Melaka? Mengapa tidak ada orang melaungkan untuk memusnahkan kampung tersebut dan menggantikannya dengan bangunan moden 100 tingkat juga?

_MG_1763_4_5_tonemappedPantai Teluk Bayu, Teluk Kumbar

Pemikiran sempit mengenai konsep pembangunan ini tidak terjadi di negara- negara Eropah. Lihat sahaja bandar- bandar lama seperti London, Amsterdam, Paris, Rome, mereka diiktiraf sebagai negara maju, lebih maju dari Malaysia tetapi mereka tidak memusnahkan warisan sejarah mereka, sebaliknya mereka mengambil insiatif untuk membaikpulih bangunan- bangunan lama dan digunakan sebaik mungkin oleh generasi sekarang selain mempeliharanya untuk generasi akan datang. Warisan mereka terjaga, dan identiti mereka kuat kerana itu.

Those who cannot remember the past are condemned to repeat it. – George Santayana

Kerana ini negara Eropah kuat sehingga kini kerana pemahaman mengenai identiti mereka dan kemahuan mereka untuk menjaganya. Tetapi ada diantara kita yang memperlekehkan sejarah sendiri, cuba untuk memadamkan sejarah, lari dari sejarah dan mengejar negara maju lain dengan harapan dapat menjadi negara maju. Bila berbincang mengenai identiti, kita dituduh rasis dan katak dibawah tempurung.

Tidak tahu merangkak tetapi terus mahu berlari…

sawah4Sawah padi, Pongsu Seribu, Kepala Batas

Oleh kerana itu menyebabkan kita semua tidak tahu apakah hala tuju kita sebagai masyarakat Malaysia, fungsi kita sebagai penjaga alam ini di tanah ini, kerana kita sentiasa mahu duduk di tengah- tengah dan bercakap bermacam- macam bahasa sesama kita, kerana tiada identiti dan jatidiri tulen. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Pada pemerhatian saya, masyarakat Malaysia yang mengagungkan pembangunan konkrit boleh disimpulkan seperti Menara Berkembar Petronas:

Screenshot 2015-03-13 13.15.48Sumber Wikipedia

  • Arkitek adalah warga Argentina Amerika
  • Jurutera struktur dari Amerika
  • Kontraktor dari Jepun, Korea dan Amerika
  • Buruh kasar dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Nepal
  • Idea, pengeluar modal dan pemaju adalah dari Malaysia

Di mana identiti Malaysia di dalam monumen terhebat ini? Adakah kita sebagai masyarakat Malaysia sebenarnya mempunyai identiti negara maju atau kita mengejar status kemajuan mengikut acuan negara lain? Atau adakah kita hanya mengimport pembangunan tanpa memikirkan kebolehan kita yang sebenar akibat dari tidak mahu belajar sejarah?

Itulah persoalan seharian yang sepatutnya kita kaji tetapi ramai yang menyorok persoalan itu ke dalam tanah bersama- sama sejarah tamadun kita dan biar ia tertanam selamanya. Suatu hari nanti bila kampung kita tergadai baru kita tahu di mana silapnya. Ketika itu kita akan menuding jari kepada ahli politik atau memainkan isu perkauman tetapi punca sebenarnya adalah akibat kebodohan sendiri yang melihat aspek kemajuan dari segi pembinaan bangunan konkrit sahaja.

Kita langsung tidak memikirkan tentang pembangunan minda, pembangunan pemikiran, penjagaan alam sekitar, penjagaan warisan, penjagaan budaya, penjagaan alam semulajadi yang merupakan pembangunan yang sebenar kerana ia tidak pernah luntur dan tidak boleh diukur dengan wang ringgit.

Pembangunan yang sebenar adalah menjadi lebih baik dari semalam.

Tidak ada kaitan dengan merobohkan rumah kampung dan menggantikannya dengan flat 30 tingkat. Itu bukan pembangunan, itu adalah perniagaan.

_MG_2090Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Manusia dari seluruh pelosok negara datang ke bandar untuk mencari hidup yang lebih baik?

Kita boleh berbangga dengan membina lebuhraya 8 lorong tetapi masih ramai yang menggunakan lorong paling kanan dengan perlahan dan menggunakan lorong kecemasan untuk memotong. Adakah itu satu kemajuan? Jika kemajuan hanya diukur dengan pembinaan konkrit tetapi minda masih di takuk kebodohan, ia tidak memberi apa- apa erti kepada kemajuan masyarakat tersebut. Kemalangan akan tetap berlaku dan rakyat akan meminta dibina lebuhraya 12 lorong pula yang akan memakan sumber bumi dengan lebih banyak.

Apakah takrif pembangunan pada pemikiran saya? (masih boleh dikembangkan)

  1. Suatu masyarakat yang sentiasa memikirkan idea- idea baru untuk kemajuan mereka
  2. Suatu masyarakat yang memahami identiti mereka dan memperkuatkan identiti tersebut
  3. Suatu masyarakat yang boleh memaksimakan kemudahan yang sedikit dengan impak yang paling besar
  4. Suatu masyarakat yang tidak memusnahkan alam semula jadi untuk keuntungan jangkamasa pendek
  5. Menjadi seorang yang lebih baik dari hari sebelumnya

Apakah yang boleh kita lakukan untuk menghalang kemusnahan alam dan pembangunan palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?

  1. Sentiasa ingat bahawa pembinaan bangunan konkrit menggantikan bangunan kayu bukan bermaksud kemajuan
  2. Gunakan setiap barangan elektronik yang anda beli selama yang mungkin. Elakkan daripada selalu menukar alatan elektronik kerana ia menggunakan sumber bumi yang banyak seperti besi dan emas
  3. Tinggal di kawasan pedalaman bukanlah bermaksud mundur, dan tinggal di bandar bukanlah bermaksud maju. Maju dan mundur hanya ada dalam pemikiran kita sahaja
  4. Less is more. Menjalani kehidupan yang lengkap dengan bantuan peralatan / kewangan yang paling sedikit adalah tanpa kemajuan yang sebenar kerana anda sangat efisyen dalam kitaran beri dan ambil (give and take). Orang yang hidup lengkap dengan pendapatan RM2000 adalah lebih baik dari yang berpendapatan RM10,000 tetapi berhutang
  5. Elakkan bercuti di hotel/ resort/ villa yang mahal/ mewah kerana kos untuk menjalankan perniagaan tersebut adalah sangat tinggi dan akan menyebabkan pembaziran disamping merosakkan ekosistem.

_MG_2278Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur

Inilah satu daripada bidang yang sangat saya minat untuk rakamkan sejak membeli kamera DSLR pada tahun 2007, dokumentari kehidupan masyarakat setempat dan keindahan alam yang seringkali kita terlepas pandang kerana kesibukan yang kita palsukan, mengejar sesuatu yang tidak akan dapat, dan menolak ke tepi apabila sejarah dipertontonkan kerana takut dilabel rasis dan katak dibawah tempurung.

IMG_2536Gunung Mat Chincang, Langkawi. Gambar yang diambil pada tahun 2006, beberapa bulan sebelum membeli kamera DSLR pertama saya.

Tetapi dalam 7 tahun kebelakangan ini permintaan untuk servis fotografi perkahwinan amat menggalakkan menyebabkan cita- cita ini menjadi suatu bidang part time sahaja. Mungkin tahun 2015 ini akan menjadi pencetus kepada saya untuk menjadi seorang penulis / jurugambar dokumentari sepenuh masa, siapa yang tahu. Apa yang kita boleh buat hanyalah menjadi yang lebih baik dari semalam, itu pun sudah cukup untuk kemajuan dan pembangunan jatidiri saya dan keluarga…

Ridhuan Abu Bakar, Kepala Batas.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s